Friday, January 14, 2011

PKMM DAN ANGKATAN PEMUDA INSAF (API)



Foto Tokoh-tokoh PKMM & API

Gambar ini di ambil di tepi belukar di sebuah kampung, di Sitiawan dalam negeri Perak dalam tahun 1946.
Duduk dari kiri:
Ahmad Boestamam
Ishak Hj. Muhammad
Mahmud Abdul Samad
Ayus Nurdin
Berdiri dari kiri:
Abdullah Ayub
Khalid Wazir
Rahman Rahim
Baharuddin Latif
Dom Madzi Ibrahim


                                                        Artikel dari akhbar Utusan Melayu, 20 Sept 1947

SINGAPURA MENYUSUN BARISAN MEMPERHEBAT GERAKAN ANTI-FEDERATION

Apakah bentuk rupa persidangan dan tindakan sayap kiri Melayu untuk membantah Federation? Banyak orang bertanya soal ini.
Sayap kiri barisan yang menentang Federation tidak akan diam. Umpamanya, Perlembagaan Rakyat yang dirangkaikan oleh PUTERA dan Majlis Bergerak Serentak sudah pun sempurna disusun dan dibentukkan kepada rakyat jelata melalui suratkhabar-suratkhabar di sini.
“Akan kita terangkan perlembagaan kita itu kepada rakyat jelata di segenap pelusuk negeri ini. Ini baharu sahaja usaha yang akan kita jalankan dan tak akan ini sahaja usaha kita itu akan terbatas. Tidak saudara-saudara.”
Demikianlah bunyi kenyataan Parti Kebangsaan Melayu cabang Singapura yang kita terima semalam.
Kenyataan itu lebih lanjut menerangkan:
“Baharu-baharu ini kami telah mengadakankan kongres di Queens Theatre. Kita tidak akan berbangga bahawa kongres kita itu membawa erti langkah baharu kita di masa muka sedang kita susun barisan perjuangan kita di pulau ini sedang kita pergerak tenaga kita di sini sedang kita baharui dan tekad azam kita telah kita perteguh.”
“Tetapi apa yang harus diketahui ialah masa bagi membataskan tindakan-tindakan kita dengan hanya membantah bersurat sahaja ke London telah kita tinggalkan di belakang.”
“Masa di muka ialah masa memperhebat perjuangan dan menjitukan tindakan.”
“Golongan kolot bangsawan Melayu tak lama lagi akan bermaharaja-lela memerintah Malaya di bawah naungan panji-panji Colonialism British.”
“Apakah nasib rakyat jelata ketika itu nanti, sesamalah Federation itu kita gambarkan sekarang, hanya barisan yang padu rakyat jelata di susun dari sekarang maka akan dapat kita tentang Federation yang harus kita hadapi dalam abad Federation nanti.”
“Kita harus bekerja agar supaya Pusat Tenaga Ra’ayat merupakan lambang perjuangan rakyat yang kukuh untuk menentang Colonialism dan kekolotan golongan bangsa kita yang akan memerintah kita kelak.”
“Dasar memecah kemudian memerintah dari Imperialist akan bertambah berat di dalam abad Federation kelak untuk meleburkan barisan kita dan fitnah penipuan yang sejelek-jeleknya akan kita terima dari golongan bangsa kita yang bersubahat dengan Imperialist itu, juga untuk memecahkan perpaduan kita.”
“Tetapi, tindakan-tindakan kita yang jitu dan hebat akan kita hadapkan pada mereka. Bersiaplah saudara-saudara untuk menyusun, mengatur dan melengkapkan persediaan tindakan itu dari sekarang.”
“Di Singapura pada 25 haribulan September hari Ahad ini di Farrer Park kita akan mengadakan satu perjumpaan raksasa untuk membantah Federation.”
“Ini hanya baharu satu sahaja tindakan kita di masa hadapan. Ada banyak lagi yang akan dilancarkan. Ini baharu permulaannya sahaja, saudara-saudara.”
“Datanglah beramai-ramai ke Farrer Park pada pukul 10 pagi 25 haribulan ini untuk menunjukkan perpaduan kita menentang Federation.”
“Sekianlah bagi sementara ini kenyataan kami kepada bangsa Melayu di Singapura.”
“Ingat Federation haram bagi kita dan saudara tidak akan lupakan tarikh 25 haribulan September hari Ahad pukul 10 pagi di Farrer Park nanti” — Parti Kebangsaan Melayu, cabang Singapura.

Sumber: Akhbar Utusan Melayu, 20 Sept 1947

No comments:

Post a Comment