Tuesday, February 8, 2011

Penubuhan Singapura Moden (1819)
Antara kurun ke-16 dan kurun ke-19, Kepulauan Melayu secara beransur-ansur menjadi milik penjajah dari Eropah. Permulaan penjajahan dari Barat bermula apabila Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509. Manakala pada kurun ke-17, Belanda telah menguasai kebanyakkan pelabuhan-pelabuhan utama di Kepulauan Melayu. Pihak Belanda telah memonopoli kesemua perdagangan rempah ratus yang pada ketika itu merupakan bahan perdagangan yang penting. Penjajah Eropah yang lain termasuk British, cuma mempunyai hak perdagangan yang kecil.
Sir Stamford Raffles, Pengasas Singapura Moden
Pada tahun 1818, Sir Stamford Raffles telah dilantik menjadi gabenor di salah sebuah pelabuhan British iaitu di Bengkulu, Sumatera. Raffles percaya bahawa British perlu mencari jalan untuk menjadi kuasa dominan di rantau ini. Salah satu jalan ialah dengan membina sebuah pelabuhan baru di Selat Melaka. Pelabuhan British sedia ada seperti Pulau Pinang adalah terlalu jauh di utara Selat Melaka manakala Bengkulu pula menghadap Selat Sunda.
Pada tahun 1818, telah berjaya menyakinkan Syarikat Hindia Timur British (EIC) untuk mencari pelabuhan baru di rantau ini. Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh Temenggung Johor iaitu Temenggung Abdul Rahman. Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussain tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.
Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussain sanggup membenarkan British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussain. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.

No comments:

Post a Comment