Sunday, January 16, 2011

MANUSIA ZAMAN NEOLITIK

Nota Sejarah Tamadun Dunia

Zaman Neolitik Dan Ciri-cirinya :


Pengenalan

Zaman Neolitik juga dikenali sebagai Zaman Batu Baru. Zaman ini dianggarkan berlangsung di seluruh dunia di antara 5,000 SM sehingga 3,000 SM. Tamadun awal manusia dikatakan bermula pada akhir Zaman Neolitik ini. Daripada pelbagai bidang, Zaman Neolitik telah menunjukkan perubahan yang amat besar. Contoh petempatan orang Neolitik ialah Lembah Indus, Lembah Hwang-Ho, Lembangan Sungai Eupharates dan Tigris dan sebagainya.

Ciri-ciri :
Tempat Tinggal

Manusia Neolitik tinggal di rumah yang dibina oleh diri sendiri. Rumah mereka dibuat daripada batu-bata, kayu dan sebagainya. Bukti yang menunjukkan manusia Neolitik tinggal di rumah ialah penemuan tiang-tiang kayu yang ditinggalkan oleh orang zaman ini di Switzerland. Tiang-tiang ini telah ternampak apabila air tasik besar ini menjadi tohor. Setelah dikaji, didapati rumah ini disambungkan antara satu sama lain dan tebing tasik dengan titi-titi yang boleh diangkat pada waktu malam untuk menjaga keselamatan.

Cara Hidup

Orang Neolitik hidup secara tetap di rumah yang didirikan. Kini, cara hidup mereka juga lebih teratur. Rumah-rumah dibina untuk membentuk sebuah kampung. Kampung ini biasanya terletak di tepi sungai atau laut. Setiap kampung mempunyai seorang ketua yang akan menyelesaikan sebarang pertikaian yang berkaitan dengan pertanian dan hak milik tanah. Benteng dibina untuk melindungi kampung itu daripada serangan musuh atau binatang liar. Faktor utama yang mendorong orang Neolitik hidup secara tetap ialah mereka perlu menjaga tanaman dan binatang ternakan mereka daripada dimusnah oleh binatang dan serangga perosak.

Kegiatan Harian

Masyarakat Neolitik mencapai perkembangan dalam bidang pertanian yang mengagumkan. Kini mereka menjadi petani dengan menanam sayur-sayuran dan bijirin seperti barli, jagung dan gandum. Selain itu, mereka juga menternak binatang seperti kambing, lembu dan memelihara anjing. Selain daripada bercucuk tanam dan menternak binatang, masyarakat ini juga terus memburu, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Tujuan mereka melakukan kegiatan ini ialah untuk mendapatkan bekalan makanan tambahan. Selain itu, masyarakat ini juga mula menghasilkan alat tenunan, kain dan tembikar.

Peralatan

Orang Neolitik telah mencipta alat-alat yang lebih elok dan halus seperti kapak, beliung dan pisau daripada batu dan juga logam untuk memburu, memotong dan bercucuk tanam. Selain itu, teknologi baru dalam bidang pertanian seperti bajak, tajak atau cangkul juga diperbuat daripada granit juga dicipta. Penggunaan peralatan yang disebutkan di atas telah membantu masyarakat ini menghasilkan pelbagai jenis tanaman. Orang Neolitik juga pandai menganyam bakul. Bakul yang dianyum ini digunakan untuk menyimpan bijirin, mengangkap ikan dan memburu binatang. Selain itu, masyarakat Neolitik juga pandai membuat alat tembikar daripada tanih yang dikeringkan. Alat tembikar ini digunakan untuk memasak, mengisi makanan dan menyimpan air. Hasil tembikar ini menjadi lebih bermutu apabila roda ceper digunakan.

Kepercayaan

Masyarakat primitif ini mengamalkan kepercayaan animisme, iaitu percaya bahawa semua benda di alam ini mempunyai roh. Selain itu, mereka juga percaya bahawa semangat atau tuhan mengawal alam semesta. Sebab itulah mereka cuba memuja semangat yang mengawal alam semesta seperti banjir dan kemarau yang dianggap pemusnah pertanian. Masyarakat Neolitik juga mengamalkan adat dan upacara yang lebih maju dripada masyarakat sebelum ini. Contohnya, upacara pengebumian dan sebagainya.

Pakaian

Masyarakat Neolitik mula menenun kain daripada bulu binatang dan gentian-gentian tumbuhan dengan menggunakan alat tenunan. Kini, mereke telah mula berpakaian kain dan jarang sekali mereka berpakaian kulit binatang. Mereka mendapati pakaian yang dibuat daripada kain adalah lebih selesa jika dipakai. Selain itu, berpakaian kain juga dapat menunjukkan bahawa mereka ini lebih tinggi tamadunnya kalau dibandingkan dengan orang yang berpakaian kulit binatang.

Aktiviti Perdagangan

Sejak Zaman Neolitik, aktiviti perdagangan telahpun mula dijalankan. Perdagangan dijalankan di antara kampung-kampung. Mereka saling menukar barang yang dikehendaki. Sistem tukar barang dikenali sebagai sistem barter. Selain perdagangan antara kampung dijalankan, mereka juga menjalankan aktiviti perdagangan dengan masyarakat yang berhampiran. Pada zaman ini, wang memang langsung tidak digunakan. Sistem yang diamalkan juga menemui pelbagai masalah, contohnya, kehendak yang serentak sukar dicapai di antara satu sama lain, unit ukuran atau kadar pertukaran sukar ditentukan dan sebagainya.

Organisasi Sosial

Organisasi sosial dalam bentuk kekeluargaan telahpun wujud pada zaman ini. Setiap keluarga mempunyai seorang ketua yang akan memimpin keluarga ini untuk melakukan aktiviti harian. Daripada kumpulan ketua keluarga ini, seorang akan dipilih untuk memimpin kampung ini. Tanggungjawabnya adalah menyelesaikan pertikaian di antara penduduk kampung dalam pelbagai perkara. Beliau juga dikenali sebagai ketua kampung.

Teknologi Baru

Zaman Neolitik telah mencapai perkembangan yang amat pesat dalam bidang infrastruktur. Pada zaman ini, roda buat pertama kali digunakan. Roda telah dicipta untuk menjadikan sistem perhubungan yang lebih cepat. Sebagai contoh, roda dipasang di kereta kuda membolehkan kereta kuda berjalan dengan lebih cepat. Selain ciptaan roda, kapal layar juga telah diciptakan. Ciptaan kapal layar membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain dengan mudah walaupun dipisah oleh lautan yang luas. Bukti penggunaan kapal layar ialah perjumpaan pelabuhan awal seperti Santubong dan Kuala Selinsing.

No comments:

Post a Comment